Thursday, June 26, 2008

Sejenak Bersama Ketua Pembangkang ( Datin Seri Wan Azizah Ismail)...

Jebat ke parlimen semalam. Bukan untuk berdebat, sekadar menghadiri perjumpaan bersama kenalan baru disana. Sudah beberapa kali Jebat menjejakkan kaki ke tempat suci ini. Tempat di mana segala undang-undang digubal, segala masalah rakyat dibangkitkan dan tempat berkumpulnya mereka-mereka yang dipilih oleh rakyat maupun hantu (pengudi hantu).
Hari ini Jebat agak bertuah, kerana dewan kembali bersidang selepas lama bercuti. Dapat lah Jebat melihat kelibat para YB, dengan pelbagai gelagat. Ada yang ketawa, ada yang sibuk berbual di telefon, ada yang terkejar-kejar masuk ke dewan persidangan dan pelbagai lagi. Dalam sepintas pandang, Jebat melihat Ku Li, Azmin, Radzhi Sheik Fadzil, YB PAS yang Jebat lupa namanya dan Datin Wan Azizah.
Mungkin sudah ditakdirkan, ketika Jebat ingin ketingkat 5 Parlimen, Datin Wan Azizah manggunakan lif yang sama dengan Jebat. Jebat agak terkejut namun hanya tersenyum bila bersua muka dengan beliau. Ketua pembangkang bagi Pakatan Rakyat di Parlimen. Ketika mula-mula menaiki lif, beliau sedang bercakap di telefon bimbit. Terdengar jugalah menganai BN dan usul yang tidak diluluskan oleh dewan. Sibuk sungguh Datin pada pandangan Jebat.
Selesai ditelefon Datin tersenyum kearah Jebat dan Jebat membalas senyuman wanita besi ini. Jarang Jebat mengalami situasi dimana orang yang berkedudukan menegur Jebat dan sudah menjadi tabiat Jebat hanya memerhati. Datin Wan menegur Jebat, bertanyakan mengenai tali leher yang Jebat pakai semalam. “ Student MCKK ye” ”Yes I was” kata Jebat. Cukup untuk memulakan perbualan singkat Jebat dengan Ketua Pembangkang ini. Perbualan Jebat berkisar mengenai MCKK dan tradisinya. Sempat juga Jebat berkirim salam kepada Dato’ Seri Anwar yang juga merupakan old boy di MCKK.
Apa yang membuatkan Jebat tertarik dengan wanita ini, adalah sikap keibuannya begitu terserlah. Bercakap dengan lemah lembut, seperti seorang ibu kepada anaknya. Tekadang Jebat terfikir bagaimana kesusahan beliau di era reformasi dahulu, ketika suami di dalam geriji besi atas dakwaan rasuah, liwat (adakah kerana Anwar budak Koleq maka tuduhan ini berasas?) dan salah guna kuasa. Bagaimana ibu ini mampu membesarkan anak-anak tanpa suami disisi. Ketika lift yang Jebat naiki ini mengalami masalah, Datin Nampak cuak. Membuat Jebat teringat ibu di kampung yang sama nalurinya bila berhadapan dengan keadaan yang tidak terduga.
Ketika Datin melangkah turun, sempat Jebat berpesan di dalam hati agar Datin terus dalam perjuangan membela rakyat dan semoga tidak ghairah dan alpa bilamana kuasa dating menduga kelak. Jauh disudut hati, Jebat berharap agar Jebat tidak perlu lagi mengamuk dan memberontak di gelanggang ini(gelanggangjebat.blogspot.com) bilamana Datin menjadi wanita pertama kelak lantaran keadilan dan kesaksamaan yang kalian berikan kepada Jebat dan marhaen yang lain.
Selamat berjuang Datin, moga perjuangan ini diberkati.

-Jebat-

No comments: